Nanti saya perbetulkan semula..
Fidyah merupakan bayaran denda yang dikenakan kepada seseorang yang tidak dapat mengganti puasanya di bulan Ramadhan pada sesuatu tahun sehinggalah tibanya bulan Ramadhan tahun berikutnya.
Hukum membayar fidyah adalah WAJIB . Dengan membayar fidyah tidak bermaksud mereka tidak perlu lagi menggantikan puasanya kerana puasa tersebut tetap wajib digantikan mengikut bilangan hari yang telah ditinggalkannya. Sekiranya bilangan hari tersebut telah melangkau tahun, maka kadar fidyah bagi hari tersebut akan digandakan.
Kadar fidyah dikira berdasarkan kadar harga beras (makanan asasi penduduk) semasa iaitu sebanyak secupak. Kadar tersebut berubah mengikut harga yang ditetapkan pemerintah di sesuatu tempat. Beras tersebut hendaklah diberi makan kepada fakir dan miskin dan bukan berbentuk wang tunai, pakaian dan sebagainya.
ORANG YANG DIWAJIBKAN QADA DAN FIDYAH
Adalah menjadi kewajipan mengqada puasa bagi orang-orang yang meninggalkannya dengan sengaja atau dengan sebab keuzuran syar’i. Di samping itu ada juga orang-orang yang meninggalkannya ditentukan ke atasnya membayar fidyah.
Fidyah ialah memberi makan orang miskin sebanyak satu mudd (cupak) beras atau apa-apa jua bijirin yang menjadi makanan asasi sesebuah negeri itu. Satu mudd itu adalah sebagai gantian bagi satu hari puasa yang ditinggalkan dan satu mudd itu bersamaan 15 tahil (566.85 gram).
Bagi wanita hamil atau yang menyusukan anak, jika dia takut akan mudarat kepada anaknya disebabkan dia berpuasa, maka dia diharuskan berbuka dan wajib mengqada puasa tersebut. Selain itu dia juga wajib fidyah kerana dia berbuka untuk menyelamatkan nyawa dan tidak berupaya menunaikan puasa.
Perkara ini berdasarkan satu riwayat yang menyebutkan bahawa Abdullah bin Umar Radiallahuanhuma telah ditanya mengenai seorang perempuan hamil yang takut mudarat kepada anaknya, adakah ke atasnya berpuasa? Lalu beliau berkata yang maksudnya:
"Berbuka dan berilah satu cupak makanan (hinthah) kepada orang miskin setiap hari.’’ (Hadis riwayat Malik).
Manakala perempuan hamil dan yang menyusukan itu apabila berbuka kerana niat rukhshah sakit atau musafir, maka wajib ke atasnya qada sahaja dan tidak wajib fidyah.
Hukum yang sama juga (fidyah) terkena kepada orang-orang yang meninggalkan puasa dan melengah-lengah atau melambatkan qada, sedangkan dia berdaya sehingga datang bulan Ramadan yang baru. Dengan demikian dia berdosa kerana melambatkannya dan wajib qada serta fidyah bagi setiap hari yang ditinggalkannya itu.
Kecuali bagi orang-orang yang uzurnya berterusan sehingga tidak berdaya melakukan qada seperti sakit atau musafir yang berterusan, perempuan hamil atau perempuan yang menyusukan sehingga datang Ramadan yang lain maka tidak wajib ke atasnya fidyah kerana melambatkan qada itu kerana keuzuran sedemikian itu diharuskan.
Begitu juga orang-orang yang sengaja meninggalkan puasa tanpa uzur syar’i, dia berdosa dan wajib qada serta dikenakan membayar fidyah.
ORANG YANG DIWAJIBKAN MEMBAYAR FIDYAH SAHAJA
Islam sebagai agama yang mudah tidak akan memberatkan umatnya dalam segala perkara yang disyariatkannya seperti puasa Ramadan yang diwajibkan ke atas setiap orang Islam.
Bagi orang-orang yang tidak berdaya menunaikan puasa Ramadan, Islam memberikan jalan kelonggaran tertentu kepada mereka sama ada dengan mengqada puasa yang ditinggalkannya itu atau dengan mengeluarkan fidyah, atau keduanya sekali.
Bagi orang yang sangat tua (yang tidak berdaya melakukannya) dan orang yang sangat sakit yang tidak ada harapan untuk sembuh, tidak wajib ke atasnya berpuasa, tetapi diwajibkan ke atasnya membayar fidyah.
Dalam hal ini Allah Subhanahu Wataala berfirman yang tafsirnya:
"Dan Ia (Allah) tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.’’ (Al-Hajj ayat 78).
Firman-Nya lagi yang tafsirnya:
"Dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.’’ (Al-Baqarah ayat 184).
Ibnu Abbas Radiallahuanhu telah meriwayatkan mengenai orang yang sangat tua yang diwajibkan ke atasnya fidyah, beliau berkata yang maksudnya:
"Orang yang sangat tua di kalangan lelaki atau perempuan yang keduanya tidak mampu berpuasa hendaklah memberi makan orang miskin bagi setiap hari sebagai ganti.’’ (Hadis riwayat Al-Bukhari).
Hukum yang sama juga terkena kepada orang yang sangat sakit yang tidak ada harapan untuk sembuh dia boleh berbuka dan wajib membayar fidyah sebagai ganti puasa yang ditinggalkannya itu.
Mengenai qada orang yang sangat tua dan orang yang sangat sakit tidak ada harapan untuk sembuh jika dia merasa mampu dan berdaya untuk berpuasa, apakah dia wajib mengqada puasa yang ditinggalkannya itu? Dalam hal ini, ulama menyatakan bahawa jika dia berdaya sebelum membayar fidyah, maka dibolehkan dia mengqada sahaja tetapi jika dia berdaya setelah membayar fidyah, dia tidak perlu mengqadanya. Ulama juga bersepakat adalah harus bagi orang yang sangat tua itu membayar fidyah selepas masuk fajar setiap hari.
Manakala bagi orang yang luput menunaikan puasa Ramadan dan meninggal dunia sebelum dia mengqadanya sama ada disebabkan meninggal dunia pada bulan Ramadan, meninggal sebelum fajar 2 Syawal, sakit yang berpanjangan atau kerana musafir yang diharuskan sehingga dia meninggal, maka dia tidak berdosa dan tidak wajib qada dan tidak dikenakan membayar fidyah.
Kalau nak tau macamana perkiraannya boleh la kilik SINI..
Info lanjut boleh klik kat SINI pulak..
3 comments:
kwn aku pun ramai konpius.
puasa yg tak habis diganti tetap kena ganti cuma xberganda hari. fidyah je yg berganda mengikut brape hari yg xsempat tu. btw, thanks beb.. sharing is caring.
lia, tq for sharing..mmg ramai tak tahu..so skrg dah tau :-)
aku antara org yg kena bayar fidyah....
Post a Comment